Pertubuhan-pertubuhan wanita seluruh dunia melaungkan suara setinggi-tingginya, mempertegas kewajipan menjaga hak-hak wanita dan mengkritik mana-mana negara yang melakukan kezaliman ke atas hak-hak mereka. Namun suara wanita-wanita Palestin yang meringkuk di dalam penjara Zionis tiada siapa yang mendengarnya! Di sana terdapat 37 orang tahanan yang bukan sahaja dirampas hak kebebasan daripada mereka, malah perkara lebih asas yang dijamin oleh nas undang-undang yang wajib diperoleh setiap manusia pun tidak diberikan.
Ketua lujnah media, Riadh al-Asyqar menjelaskan bahawa lebih daripada 10,000 wanita Palestin pernah mengalami keperitan penjara sejak 1967.
Para tahanan ini dihalang daripada mendapat hak yang telah disepakati di peringkat antarabangsa seperti hak mendapat rawatan dan sebagainya. Mereka juga dihalang daripada mendapat pendidikan peringkat menengah dan tinggi. Bahkan mereka tidak dibenarkan membawa masuk buku-buku serta majalah dan tidak dibenarkan untuk mengadakan perpustakaan yang khusus untuk para tahanan.
Pihak pengurusan penjara tidak teragak-agak untuk melakukan pelbagai bentuk seksaan dan penderaan demi menambahkan lagi tekanan ke atas tahanan ini. Tujuan mereka adalah untuk melemahkan semangat mereka atau menggerunkan masyarakat di luar sana supaya tidak berani melawan dan serik untuk berjuang melawan mereka.
Mereka meredah masuk ke dalam penjara sesuka hati mereka. Selalunya mereka meredah masuk pada waktu lewat malam. Mereka mengacau barang-barang peribadi tahanan, menggeledah apa saja yang ada di dalam bilik kurungan konon mencari barang yang dilarang. Mereka tidak langsung menghormati hak peribadi tahanan dengan meredah masuk tanpa isyarat terlebih dahulu untuk memungkinkan tahanan memakai tudung dan membetulkan pakaian. Pihak pengurusan penjara juga menggunakan kaedah pengasingan bagi meningkatkan tekanan ke atas tahanan. Satu-satunya tahanan yang berasal dari Gaza, Wafa’ al-Bas ditempatkan di penjara yang terletak di Ramalah di samping penjenayah sudah lebih daripada 5 bulan.
Selain itu, tahanan yang berada di penjara Damun di awal tahun ini telah dipindahkan ke bahagian lain yang amat kurang keperluan asas untuk hidup lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Waktu hujan, air menitis ke dalam sel dan bilik kurungan dari celah tingkap dan pintu sehingga meresap ke tempat tidur dan tempat penyimpan pakaian. Lebih bahaya lagi, air yang menitis itu terkena wayar elektrik, menyebabkan para tahanan diancam bahaya. Air panas untuk mandi tidak ada. Bilik air pula terletak di luar sel.
Disebabkan polisi kecuaian penjagaan kesihatan yang disengajakan, sepertiga daripada tahanan menghidap bermacam-macam penyakit yang berbahaya. Mereka mengadu tiada doktor pakar dihantar memeriksa dan merawat mereka dan tiada doktor perempuan menjaga hal ehwal tahanan yang sakit di dalam penjara. Pihak pengurusan hanya menyediakan jururawat yang tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memberi pil penahan sakit.
Oleh itu semua pihak diseru, khususnya yang memiliki kekuasaan agar memberi perhatian yang serius kepada nasib tawanan ini.

No comments:
Post a Comment